Jumaat, 28 Jun 2013

Yang Biasa Tidak Semestinya Betul

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh !


Salam 1 Malaysia dan aku harap anda semua sihat. Alhamdulillah, aku cuba menulis blog yang bertajuk "Yang Biasa Tidak Semestinya Betul" pada masa lapang.. Kadangkala orang ramai tak sedarkan satu patah perkataan yang kurang jelas. Mungkin dia salah faham, please inform he/she so that he/her will understand with good explain.. Betul tak? Kadangkala kalau sudah salah faham, mestilah bergaduh la.. Aduhayi!!

"Harapkan pagar, pagar makan padi." Adakah anda semua faham maksud peribahasa ini? Tetapi di kampung tidak ada satu pun petak sawah yang dipagar. Mungkin praktik orang dahulu. Namun menurut datuk moyang saya yang sudah berusia lebih 100 tahun, dia sendiri tidak pernah melihat orang kampung memagar padi!

Rupa-rupanya peribahasa tersebut tidak tepat. Sebetulnya; "Harapkan pegar, pegar makan padi." Pegar ini sejenis burung liar juga dipanggil ayam pegar. Dahulunya banyak didapati berkeliaran di sawah padi.

Gambar itu menunjukkan haiwan; Burung Pegar

Pada mulanya datuk dan nenek moyang kita menyangka bahawa ayam-ayam liar ini akan memakan siput dan belalang dan serengga perosak dibunuh. Apabila diamati, rupa-rupanya ayam-ayam itu juga turut memagut bulir-bulir padi yang berjauntaian. Cis, harapkan pegar, pegar makan padi! Ini baru bertepatan dengan sifat orang dahulu yang tepat kiasaan dan bernas bidalannya. Mereka memang cermat mengamati alam.

Suka Mengikut Kebiasaan dan Kebanyakan

Bukannya tidak pernah berfikir, tetapi peribahasa tersebut sudah menjadi kebiasaan. Sejak kecil lagi kita mendengar sebutan sebegitu. Lalu, kebiasaan itu dikira kebenaran. Inilah tabiat kurang baik yang dirakamkan dalam al-Quran dan diperingatkan melalui kisah umat Nabi terdahulu.

2:170

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa-apa yang telah diturunkan Allah'. Mereka menjawab : 'Kami (lebih suka) mengikuti apa-apa yang kami dapati pada nenek moyang kami.'" (Surah al-Baqarah 2:170)

"Saya rasa, semua orang menggunakan peribahasa itu. Mana mungkin saya seorang sahaja yang berasa ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Kalau sudah diterima ramia, betullah!" Inilah kesalahan berfikir yang perlu diperbetulkan. Sesuatu kebenaran itu tidak diukur dengan majoriti.

6:116

Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika kamu mengikuti pasti mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Surah al-An'am 6:116)

Realitinya, jumlah kebenaran sentiasa sedikit berbanding kebatilan. Begitulah yang dapat dilihat dengan kemenangan tentera Badar dan Mu'tah yang dicapai biarpun dengan jumlah tentera yang sedikit serta kemenangan tentera Jalut pada zaman Nabi Daud. Kebenaran tidak pernah menang dengan kuantiti. Bahkan apabila umat Islam menjadikan kuantiti sebagai sandaran, mereka kerap menerima kekalahan. Medan Hunain telah menyaksikan hakikat ini. 

5:100

Justeru Allah mengingatkan kita, mafhumnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): 'Tidak sama yang buruk dengan baik, meskipun kebanyakan yang buruk itu menarik hatimu,' Maka, bertakwalah kepada Allah wahai orang yang berakal. Mudah-mudahan kamu berjaya." (Surah al-Ma'idah 5:100)

Kritis Menilai Perkara Agama

Begitu juga dalam soal agama, bukan sahaja hanya terkandung inti pati ajaran, tetapi ia melibatkan tentang pengetahuan, kefahaman dan pelaksanaan. Rupa-rupanya ada juga perkara-perkara berkaitan agama yang begitu biasa pada kita selama ini sebenarnya tidak berapa betul.

1. Bukan semua "hadis" daripada Nabi

Berapa banyak hadis palsu yang direka atas nama Baginda tercinta? Contohnya: "Tuntutlah ilmu walaupun ke negara China" merupakan hadis palsu. Namun sudah sekian lama masyarakat menganggapnya sebagai hadis. Bahkan pada hari ini pun, ia sering diangkat sebagai hadis. Mungkin ia kata-kata ulama yang didakwa sebagai hadis Nabi.

Baginda memberi amaran keras, mafhumnya: "Sesiapa yang membuat dusta atas namaku, maka bersiap sedialah dengan tempat tinggalnya di neraka!" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama hadis telah menjalankan amanah mereka dengan baik. Hadis-hadis yang benar daripada Nabi telah disaring dan diabadikan dalam kitab-kitab haids dan kitab yang paling unggul, Sahih al-Bukhari dan diikuti oleh Sahih Muslim.

Begitu juga hadis-hadis palsu telah dikenali pasti dan dibukukan, antaranya kitab al-Mawdu'at hasil usaha Imam Ibn al-Jawzi. Namun, adakah kita generasi pewaris juga menjalankan amanah dengan merujuk kepada hasil usaha mereka? Kalau anda semua mahu inginkan tentang hadis, pergilah lihat klik INI.

2. Menokok tambah dan mereka-reka sirah Nabi dan sahabat

Kisah Nabi dan para sahabat ada juga ditokok tambah dan direka-reka. Kisah Tha'labah seorang sahabat Nabi yang kononnya enggan membayar zakat harta kerap kali dijadikan modal motivasi masyarakat supaya berzakat. Walhal kisah itu tidak benar sama sekali. Begitu juga kisah Sayidina Umar yang membunuh anak perempuannya dusta semata-mata. Walhal anak perempuan sulung beliau; Hafsah akhirnya menjadi isteri Baginda.

Masyarakat Islam dahulu amat menitikberatkan kesahihan sumber cerita, barulah ia diterima. Generasi kita hari ini pula lebih terpesona dengan liuk dan lenggok penceritaan, lalu fakta sejengkal bertukar menjadi sedepa.

3. Bukan semua kisah nabi-nabi terdahulu itu benar

Benarlah, sekalipun satu kisah itu pada asalnya salah, jika ia dibiasakan semakin lama semakin dianggap betul. Ramai lagi masyarakat yang mempercayai bahawa Hawa yang diperdaya oleh syaitan, lalu beliau mempengaruhi pula Nabi Adam supaya memakan buah khuldi. Ajaibnya al-Quran membawakan versi cerita yang berlainan.

20:120

Firman Allah yang bermaksud: "Lalu syaitan membisikkan fikiran yang jahat kepadanya dan berkata: 'Wahai Adam, mahukah aku tunjukkan kepadamu pokok yang hidup kekal dan kekuasaan yang tidak akan musnah?'" (Surah Taha 20:120)

Allah menceritakan dengan jelas bahawa syaitan mempengaruhi Nabi Adam secara langsung. Justeru, mana satu versi yang hendak kita terima? Pastilah perkara yang terdapat dalam al-Quran itu yang benar dan sahih.

Betulkan yang biasa, Biasakan yang Betul

Berbalik kepada soal bahasa, saya teringat kepada satu simpulan bahasa " mata keranjang" yang merujuk kepada lelaki miang. Tidakkah kita tertanya-tanya bagaimana rupa mata keranjang?

 Keranjang bermaksud bakul, jadi adakah mata keranjang ialah mata bakul? Mungkin juga di bucu bakul. Tetapi, bagaimana hendak diikaitkan dengan lelaki miang? Tambahan pula, bagaimanak pula halnya jika bakul itu bulat yang tidak berbucu?

Ada juga orang yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan mata keranjang atau bakul itu ialah celah-celah atau lubang udara antara sulaman bakul tersebut. Namun, apa pula persamaan dengan lelaki miang?

Simpulan bahasa yang sebenar rupa-rupanya ialah "mata ke ranjang." Maksudnya, apabila mata lelaki yang miang melihat wanita, fikirannya terus terbayang aksi di ranjang. Masuk akal bukan? Rupa-rupanya generasi terkemudian tersalah faham ketika menukarkan ejaan yang asal dalam tulisan jawi kepada tulisan roman.


Jika soal bahasa pun penting, apatah lagi soal agama. Lebih patutlah kita berhati-hati mengenainya. Justeru, mari sama-sama kita betulkan yang biasa, biasakan yang betul.
       Wallahu a'lam

Jazak'Allahu Khairan for your reading this entry !

1 ulasan :